Monday, February 7, 2022

Kisah Aku Dan Besi Buruk

 Catatan Harian


Kancil 660cc

Sudah dua minggu saya berulang alik ke tempat kerja dengan menaiki kancil yang dibeli pada tahun 2004. Semenjak beli, saya tidak ubah apa-apa kecuali menukar rim dan stereng kereta. Itu pun bersebab, jika tidak memang saya tidak akan ubah atau tambah apa-apa.

Sebelum memakai kereta kancil ini, saya membeli kereta terpakai 1.8cc enjinnya. Berwarna silver, auto, sportrim mahal berkilat dan di tempat duduknya adalah dari jenis kulit. Walaupun tarafnya kereta terpakai, pada waktu saya membelinya tahun 1999 kereta itu cukup mewah. Penjual kereta terpakai memaklumkan kereta tersebut sebelum ini dimiliki oleh seorang pegawai besar di syarikat minyak terkemuka di ibu negara. Baru menggunakan kereta tersebut lebih kurang 5 bulan, pemilik lama menukar kereta tersebut dengan kereta yang lebih mewah dan mahal.

Pada tahun 2004, saya membuat keputusan untuk jual kereta itu. Kereta yang saya sangat sayang, saya akan mandikan dan vacum setiap minggu tanpa gagal. Walau berat sewaktu membuat keputusan itu, saya beranikan diri, kerana saya merasakan wang gaji yang saya gunakan sebagai bayaran ansuran kereta itu lebih berbaloi untuk saya gunakan membeli  ubat, vitamin dan apa-apa keperluan perubatan untuk mak.

Ketika mak bertanya kenapa hendak jual, saya tidak memberitahu perkara sebenar. Saya takut emak akan berkata duit tak ada pergi hospital dan makan ubat yang diberikan oleh kerajaan sahaja. Saya menerangkan dengan baik bahawa kereta yang hendak dibeli nanti walaupun kecil tetapi kereta baru berbanding sekarang kereta terpakai. Kereta kecil jimat minyak dan kami berdua sahaja apabila pergi makan angin. Banyak kali saya tekankan tentang penggunaan minyak yang sangat jimat dan mudah parking. Insiden bergesel sebelum-sebelum ini akan tidak berlaku lagi. Wajah mak gembira, mungkin mak sudah mula terbayang ke mana sahaja yang dia pinta saya bawa akan saya turuti kerana minyak dan bayaran bulanan sudah berkurangan. Wang tunai di tangan akan banyak. 

Tahun lepas saya ditanya soalan, bila lagi hendak diupgradekan kereta putih yang saya pakai sejak tahun 2010 itu. Guraunya walau berbau sindiran bahawa, pegawai bawahan saya pun sudah bertukar kepada kereta terkini keluaran syarikat otomotif tempatan. Ketika itu, saya masih boleh menerima soalan itu kerana bagi saya, sekurang-kurangnya saya tidak berhutang. Lagi pun kereta itu adalah hadiah dari suami sebagai ucapan terima kasih selepas melahirkan anaknya yang ke 4. Itu pun sudah cukup bernilai.

Tetapi hari ini saya berasa sedih, mungkin kerana bahasa yang digunakan terasa sinis yang dalam. Alangkah bagusnya jika dia tahu bahawa besi buruk itu telah dan masih memberi perkhidmatan yang baik kepada tuannya. Besi buruk itu dahulunya akan membawa mak pada setiap hari sabtu dan ahad ke pasar, setia menunggu di tepi pantai sementara saya menggosok kaki mak dengan pasir pantai sebagai terapi. Membawa kami berdua bersiar-siar tanpa tujuan. Waktu ini, mak akan tidur sepanjang perjalanan hingga sampai ke destinasi untuk minum cendol dan balik semula ke rumah. Teringat kata mak, buka aircond besar mak nak tidur. Ketika saya menjaga arwah bapak, besi buruk inilah yang juga berjasa. Walau ada kereta besar, bapak akan pilih untuk menaiki kancil ini. Sewaktu saya berulang alik dari Seremban ke hospital Kuala Lumpur setiap hari untuk menjaga arwah abang saya, kereta ini jugalah yang menjadi kenderaan utama meredah lebuhraya dan kesesakan.

Jadi, jangan berkata yang bukan-bukan. Walaupun ianya kereta lama sedikit pun kereta itu tidak menyusahkan orang lain.

Saya sedih hari ini. Saya memang tidak berharta tetapi jiwa saya sarat dengan kasih sayang.


Semoga Allah mengampuni saya dan merahmati semua.

No comments:

Post a Comment

Sedekah

  Catatan Pengalaman Sedekah Mententeramkan Jiwa      Setahun yang lepas, saya melayani perasaan sedih menghadapi perkara sukar yang saya ha...