Monday, February 7, 2022

Sedekah

 Catatan Pengalaman



Sedekah Mententeramkan Jiwa


    Setahun yang lepas, saya melayani perasaan sedih menghadapi perkara sukar yang saya hadapi ialah dengan  berbelanja sesuka hati. Saya akan berbelanja mengikut nafsu dan seperti sudah menjadi ubat untuk saya bila melihat bungkusan diterima, jika tidak saya gelisah. Sedihnya hingga kini masih terdapat bungkusan yang masih saya belum buka, saya hanya suka membeli tetapi tidak menggunakan kerana bukan keperluan utama. Saya mencontohi amalan syaitan!! 


Ya Allah, apa yang telah aku lakukan? Saya mengadu, aku sakit Ya Allah, bantulah aku.

    Saya mula mencari penyelesaian terhadap masalah yang sedang saya hadapi ini dan dalam beberapa cadangan solusi yang diberikan saya temui satu kaedah yang hingga ke hari ini membahagiakan saya iaitu amalan bersedekah. Saya memulakan dengan jumlah yang kecil iaitu RM2.00 sehari dan selama dua bulan saya akan memastikan saya konsisten membuat pindahan wang ke akaun yang saya pilih. Jika saya lupa waktu pagi dan teringat pada waktu malam maka malamlah saya buat pindahan transaksi.

    Kenapa saya tidak buat auto debit? Memberi arahan kepada pihak bank agar membuat potongan setiap hari ke akaun bank yang dipilih. Itu lebih mudahkan? Permulaan saya memulakan aktiviti ini memang terfikir untuk membuat autodebit tapi saya merasakan belum tiba masanya. Saya perlu mengambil peluang melatih diri, sendiri menguruskan, sendiri ingat dan yang paling istimewa saya tidak melepaskan peluang untuk berdoa sewaktu membuat transaksi.

    Jika sebelum ini, baru beberapa hari menerima gaji saya telah kehabisan wang hingga terpaksa pula keluar wang simpanan untuk memenuhi kehendak yang sia-sia, kini tidak berlaku lagi. Jika sebelum ini saya bermula dengan RM2.00 kini jumlahnya telah meningkat. Mohon doakan jumlahnya akan meningkat lagi. Jika sebelum ini saya takut tiada simpanan, kini saya mencuba meningkatkan simpanan saya di dunia sana.

    Saya sudah dapat atasi perbuatan saya yang tidak bermanfaat sebelum ini. Berdamai dengan perasaan gundah saya. Jika sehari saya tidak menekan butang transfer saya akan merasa bersalah kerana tidak dapat membantu orang lain. Begitulah saya kini.

    Akhir penulisan ini saya memohon maaf jika apa yang saya tulis ini mengundang ketidakselesaan rakan pembaca semua. Saya tidak berniat untuk menceritakan kebaikan saya namun saya berharap ikutilah perkara yang bermanfaat jika ada. Saya memohon maaf sekali lagi dan semoga Allah memberikan RahmatNya.
 
 



 





  


Kisah Aku Dan Besi Buruk

 Catatan Harian


Kancil 660cc

Sudah dua minggu saya berulang alik ke tempat kerja dengan menaiki kancil yang dibeli pada tahun 2004. Semenjak beli, saya tidak ubah apa-apa kecuali menukar rim dan stereng kereta. Itu pun bersebab, jika tidak memang saya tidak akan ubah atau tambah apa-apa.

Sebelum memakai kereta kancil ini, saya membeli kereta terpakai 1.8cc enjinnya. Berwarna silver, auto, sportrim mahal berkilat dan di tempat duduknya adalah dari jenis kulit. Walaupun tarafnya kereta terpakai, pada waktu saya membelinya tahun 1999 kereta itu cukup mewah. Penjual kereta terpakai memaklumkan kereta tersebut sebelum ini dimiliki oleh seorang pegawai besar di syarikat minyak terkemuka di ibu negara. Baru menggunakan kereta tersebut lebih kurang 5 bulan, pemilik lama menukar kereta tersebut dengan kereta yang lebih mewah dan mahal.

Pada tahun 2004, saya membuat keputusan untuk jual kereta itu. Kereta yang saya sangat sayang, saya akan mandikan dan vacum setiap minggu tanpa gagal. Walau berat sewaktu membuat keputusan itu, saya beranikan diri, kerana saya merasakan wang gaji yang saya gunakan sebagai bayaran ansuran kereta itu lebih berbaloi untuk saya gunakan membeli  ubat, vitamin dan apa-apa keperluan perubatan untuk mak.

Ketika mak bertanya kenapa hendak jual, saya tidak memberitahu perkara sebenar. Saya takut emak akan berkata duit tak ada pergi hospital dan makan ubat yang diberikan oleh kerajaan sahaja. Saya menerangkan dengan baik bahawa kereta yang hendak dibeli nanti walaupun kecil tetapi kereta baru berbanding sekarang kereta terpakai. Kereta kecil jimat minyak dan kami berdua sahaja apabila pergi makan angin. Banyak kali saya tekankan tentang penggunaan minyak yang sangat jimat dan mudah parking. Insiden bergesel sebelum-sebelum ini akan tidak berlaku lagi. Wajah mak gembira, mungkin mak sudah mula terbayang ke mana sahaja yang dia pinta saya bawa akan saya turuti kerana minyak dan bayaran bulanan sudah berkurangan. Wang tunai di tangan akan banyak. 

Tahun lepas saya ditanya soalan, bila lagi hendak diupgradekan kereta putih yang saya pakai sejak tahun 2010 itu. Guraunya walau berbau sindiran bahawa, pegawai bawahan saya pun sudah bertukar kepada kereta terkini keluaran syarikat otomotif tempatan. Ketika itu, saya masih boleh menerima soalan itu kerana bagi saya, sekurang-kurangnya saya tidak berhutang. Lagi pun kereta itu adalah hadiah dari suami sebagai ucapan terima kasih selepas melahirkan anaknya yang ke 4. Itu pun sudah cukup bernilai.

Tetapi hari ini saya berasa sedih, mungkin kerana bahasa yang digunakan terasa sinis yang dalam. Alangkah bagusnya jika dia tahu bahawa besi buruk itu telah dan masih memberi perkhidmatan yang baik kepada tuannya. Besi buruk itu dahulunya akan membawa mak pada setiap hari sabtu dan ahad ke pasar, setia menunggu di tepi pantai sementara saya menggosok kaki mak dengan pasir pantai sebagai terapi. Membawa kami berdua bersiar-siar tanpa tujuan. Waktu ini, mak akan tidur sepanjang perjalanan hingga sampai ke destinasi untuk minum cendol dan balik semula ke rumah. Teringat kata mak, buka aircond besar mak nak tidur. Ketika saya menjaga arwah bapak, besi buruk inilah yang juga berjasa. Walau ada kereta besar, bapak akan pilih untuk menaiki kancil ini. Sewaktu saya berulang alik dari Seremban ke hospital Kuala Lumpur setiap hari untuk menjaga arwah abang saya, kereta ini jugalah yang menjadi kenderaan utama meredah lebuhraya dan kesesakan.

Jadi, jangan berkata yang bukan-bukan. Walaupun ianya kereta lama sedikit pun kereta itu tidak menyusahkan orang lain.

Saya sedih hari ini. Saya memang tidak berharta tetapi jiwa saya sarat dengan kasih sayang.


Semoga Allah mengampuni saya dan merahmati semua.

Sunday, February 6, 2022

Ayam Goreng Kunyit

 



Sardin Masak Kari

 Bekal untuk Suami


Sardin Masak Kari 

Saya memulakan tahun 2022 dengan berusaha memasak bekal untuk suami dan anak-anak. Sebelum ini sarapan suami dan anak-anak yang mudah-mudah sahaja seperti roti bakar, nugget dan sosej goreng. Anak-anak suka jenis makanan begitu tetapi tidak pada suami. Sesekali sahaja dia menjamah makanan sebelum ke tempat kerja. Saya pula berfikiran tidak mengapa suami tidak bersarapang mungkin dia lebih suka makan dengan rakan sepejabat.

Suatu hari entah angin ribut puting beliung mana yang melanda saya, saya memasak lauk pauk di waktu pagi. Bukan setakat lauk pauk sahaja, malah saya berjaya menyiapkan sarapan pagi untuk anak-anak juga. Ketika melihat makanan terhidang, suami bertanya boleh ke dia bawa bekal ke pejabat? Suami nampak gembira, apalagi dengan saya. Bangga sekejap. Selama ini sangkaan saya bahawa suami tidak suka bawa bekal meleset. Suami juga beritahu, kerja tidak menentu banyaknya, bila ada bekal mudah. Hendak turun ke kafe ambil masa katanya.

Kari Sardin ini merupakan salah satu lauk kegemaran suami. Saya masak kari tidak menggunakan santan. InsyaAllah sedap juga walau tiada santan.

Saya letak resepi bagi yang hendak mencuba. Suka saya mengingatkan saya memasak tiada sukatan, tidak reti hendak menyukat ikut gram. Biasanya saya guna sudu makan. Semoga berjaya ye..

Bahan-bahan:

Sardin 1 tin (tak kisah jenama apa)

Bawang besar 1 ulas (guna semua)

Daun Kari (2 tangkai)

Kulit kayu manis (sebatang)

Halba (secuit)

Daun salam (1 atau 2 helai)

Biji sawi (1 sudu)

Kas-kas (1 sudu kfc)

Rempah Kari (2 atau 3 sudu)

Cili mesin (2 atau 3 sudu)

Serbuk Jintan Manis (1 sudu kfc)

Serbuk Jintan Putih (1 sudu kfc)

Serbuk Ketumbar (2 sudu kfc)

Belacan secuit

Air asam jawa atau air perahan limau sambal

Cara Masak :

Panaskan minyak dalam 3 sudu, saya suka masak dalam kuali. Terpulang kepada pembaca ye.

Masukkan halba, biji sawi, bawang besar yang telah dimayang, daun kari dan kulit kayu manis. Tumiskan.

Bawang sudah kekuningan, masukkan sos sardin dalam tin tu dan sedikit air. Masukkan cili mesin dan rempah kari, masukkan air dan kacau hingga terbit minyak. Jangan lupa daun salam. 

Setelah itu masukkan serbuk jintan manis, jintan putih, ketumbar dan belacan. Kacau sambil tambah-tambah air asam jawa yang telah diramas dan ditapis supaya biji asam tidak masuk dalam kuah. Jika menggunakan perahan air limau sambal airnya jangan dimasukkan dahulu, air perahan limau dimasukkan akhir sekali, jika tidak nanti rasanya akan jadi pahit.

Rasakan masam dan tambah garam. Biasanya apabila saya menggunakan makanan dalam tin saya tambah garam sikit sahaja.

Setelah kuah mendidih, masukkan sardin dalam tin dan tambah air jika perlu supaya tidak pekat. Tunggu hingga mendidih sekali lagi dan sudah siap untuk dimakan dengan nasi panas-panas. 


Selamat mencubaa!

Saturday, February 5, 2022

KFC Beli Jiwa

Catatan Harian



KFC Beli Jiwa

    Hari ini saya tidak memasak untuk makan tengahari. Selesai subuh saya bergegas ke dapur kerana hari ini saya masih perlu menyiapkan tempahan Dendeng sebanyak 20 kilo daging. Jadual memasak selalunya hari Sabtu sahaja namun minggu ini saya kerja lebih masa. Sabtu dan Ahad saya menyiapkan tempahan. 


    Semalam suami dan anak-anak membantu, pagi ini saya mengupas bawang merah, halia dan menghiris serai dan seterusnya proses memasak saya lakukan bersendirian. Perut terasa lapar, jadinya saya memilih perkara yang ringkas ialah dengan masak mee segera. Teringat pula pada anak-anak hendak bersarapan apa bila mereka bangun nanti, ada lebihan nasi semalam, saya masakkan untuk mereka nasi goreng berencahkan ayam, fish cake dan telur. Alhamdulillah, habis nasi goreng itu, dalam hati berkata agaknya anak aku lapar. Rasa sayang dan kasihan pula.


    Saya bercadang untuk beri ganjaran kepada anak-anak kerana membantu saya semalam. Selalunya bila ada tempahan luar dari kebiasaan memang saya akan belanja anak-anak makanan kegemaran mereka. Saya meminta Along membuat undian dengan adik-adiknya undian terbanyak akan menjadi santapan semua pada tengahari ini.


    Snack box KFC menang!! Dalam snack box akan ada ayam seketul, burger, fries dan air. Itu memang menjadi pilihan anak-anak sebelum-sebelum ini dan saya rasa berbaloi. 

    Selesai menghantar dendeng ke kilang untuk proses retord dan sewaktu perjalanan pulang ke rumah saya mencadangkan kepada suami supaya singgah ke KFC membeli pesanan dari anak-anak. Walau ada KFC yang berhampiran dengan rumah, saya mencadangkan KFC di pekan Seremban. Terasa lama saya tidak ke pekan Seremban. Suami pun bersetuju.


    Waktu di kaunter restoran, saya memberikan order sebanyak 6 set snack box. Petugas di kaunter mengambil pesanan dan bertanya saya;

Puan ambil ala-carte ye? 

Saya pesan set, balas saya.

Puan tidak mahu ala-carte? soalnya lagi.

Tidak, balas saya ringkas. 

Pelayan menerangkn sekiranya saya ambil set, tiada fries kerana fries sudah habis

Jika begitu boleh tukar fries itu dengan kentang putar? soal saya.

Tidak boleh puan, kerana snack box tiada kentang putar.

Jika tiada fries harga berapa? soal saya

Sama, balas pelayan itu.

Rugilah begitu kan? Sepatutnya KFC boleh gantikan dengan makanan lain kerana harga tidak di tolak.

Ye, itu sebab saya cadangkan puan ambil ala-carte atau puan beli set yang lain.

Saya rasa terperuk sekejap depan adik pelayan itu. Lama dia menunggu jawapan saya.

Dalam fikiran tidak jadi orderlah, pegi ke KFC tempat lain. Tapi risau pula jika di tempat lain pun berlaku perkara sama.

Pelayan ini bertanya lagi, puan hendak order set lain?

Bagilah saya dinner plate 5 set. 

Selesai membayar dan diminta untuk menunggu sebentar. Saya memilih duduk dikerusi yang paling hampir dengan kaunter untuk mengambil pesanan.

Sambil memerhati skrin phone, ada seorang petugas lelaki datang menghulurkan cawan kertas berisi air pepsi.

Air ini untuk puan, terima kasih kerana sudi menunggu sementara pesanan puan disiapkan. 

Saya jadi gembira dan saya belajar sesuatu untuk diri saya.

Terima kasih KFC!

Thursday, February 3, 2022

 Promo Makcikmanes



Alhamdulillah

Segala pujian bagi Allah

Ini adalah customer dari kedai shopee Makcikmanes. Saya terima chat dari beliau yang bertanya tentang dendeng Makcikmanes. Bagi customer ini, berbual di medium whatsup lebih selesa. Lalu saya berikan no whatsup saya untuk memudahkan urusan jual beli.

Maka termetrilah akad urusniaga saya jual dan saya beli.

Selepas itu saya mempelawanya menjadi kawan saya di mukabuku jika beliau sudi dan salam itu bersambut. Dalam perbualan di medium whatsup itu terbitlah pula kesyukuran atas kebesaran Illahi.

Beliau mengenali biras saya dan mengenali juga rakan sepejabat suami semasa suami bertugas di Pahang. Betapa kami merasa dekat dan teruja dgn cerita-cerita yang dibualkan hingga kami tersalah orang dalam teka teki perbualan itu.


Rasa makanan bagi saya subjektif. Tidak semua orang mempunyai citarasa yang sama. Sebelum ini saya suka guna ayat lazat, sedap dan lain-lain perkataan yang super wow. Sehinggalah saya mendengar membaca penulisan seorang sahabat tentang promosi menggunakan ayat-ayat power seolah-olah orang yang masak itu sangat hebat.

Tidak patuh syariah kata kawan saya. Sedap bagi awak belum tentu sedap bagi saya. Yang penting awak jangan terover ambil kuasa Tuhan. Ya Allah, sentap saya rasa. Cepat beristighfar kata kawan itu lagi. Sejak itu saya pahatkan dalam hati, nikmat sedap itu adalah milik Allah dan saya diberi pinjaman oleh Nya untuk memasak mengikut ilmu. Ilmu itu pun dari Allah.

Terima kasih kerana sudi beli dendeng Makcikmanes.

Bagi yang hendak merasa bolehlah singgah kedai https://shp.ee/fuaefnb

Syukur Alhamdulillah.

Umrah Pertama



 Catatan Pengalaman



    Walau sudah dua tahun berlalu kenangan menunaikan umrah merupakan kenangan yang sangat manis dan tidak akan mampu untuk kami sekeluarga lupakan.

    Ketika menyatakan hasrat untuk menunaikan umrah kepada suami, suami hanya diam tidak bersuara. Saya terus bercerita kepadanya tentang kemahuan ini berulang kali. Ketika itu, kami tinggal berasingan kerana tuntutan pekerjaan suami. Suami di Pahang manakala saya dan anak-anak di Negeri Sembilan. Sudah puas saya memikir, bagaimana cara lagi untuk saya mendapatkan respon dan restu suami. Saya buntu seketika. Saya mula bertanya pada diri, apalagi kekurangan aku? Ya Allah ampunkanlah aku atas soalan yang menzalimi diri aku sendiri.

    Saya teringat pada arwah bapak. Sewaktu saya mengkhabarkan kepada bapak abang saya Mohd Salleh telah meninggal dunia, dalam kesedihan bapak berkata "kenapa aku tidak teringat hendak buat solat hajat memohon kepada Allah kesembuhan untuk anak aku?" Mengalir air mata bapak ketika itu.

    Saya teringat kisah itu sangat menyentuh hati, lantas saya menyimpan azam "Aku mesti buat solat hajat dan istikorah" detik dalam hati. Maka, saya jadikan itu sebagai rutin selepas solat dhuha dan sebelum saya tidur. Lama juga soalan tentang umrah tidak saya kemukakan kepada suami kerana saya takut saya berkecil hati jika tiada jawapan. Bagi saya itu adalah perkara baik kenapa tidak dibuat?

    Satu hari, rakan sepejabat saya memaklumkan dalam group whatsup pejabat berkenaan dengan pemergian beliau sekeluarga untuk menunaikan umrah. Selesai membacanya, airmata saya laju mengalir dan terasa panas airmata itu. Saya terus mengambil wuduk dan membuat solat sunat 2 rakaat. Selesai itu, saya whatsup personal rakan itu mengucapkan tahniah dan syukur kepadanya. Orangnya sangat muda, sudah mahu menunaikan ibadah umrah. Saya sudah tua. Itulah detik hati saya yang sedih.

    Suami pulang hujung minggu dan saya merasakan sudah waktunya saya mengulangi pertanyaan, bolehkah kita ke Mekah? Subahanallah....Alhamdulillah......Allahuakhbar. Segala pujian milik Allah. Sedang saya mencari ruang yang sesuai untuk memulakan bicara, suami terlebih dahulu membuka jalan cerita "Mami cukup duit untuk ke Mekah?" tanya suami. Saya jawab jika berdua, InsyaAllah cukup balas saya.

"Kita pergi berdua?" tanya suami lagi. 
"Sebenarnya, Pak memang bercadang hendak pergi tapi bukan dalam waktu ini" katanya.

Ketika itu, saya hanya diam tidak berkata. Saya memandang wajah suami sambil dalam hati saya berselawat. Saya berdoa Ya Rasullullah, jemputlah kami menziarahi mu Ya Rasullullah. Saya tidak sedar airmata mengalir laju.

"Macam ni lah, kita pegi, InsyaAllah" kata suami dan dia datang menghampiri terus memeluk saya.

    Sahabat semua, selain solat hajat, solat istikorah dan berselawat, saya diberi satu petua oleh sahabat saya iaitu amalan semoga hajat dipenuhi oleh Rabbul Izzati.

Mudah amalan ini jika kita faham dan redha, amalan itu adalah bersedekah!

    Jumlahnya tidak besar tapi saya akan pastikan setiap hari saya bersedekah sebelum subuh dan saya memanjat doa, Ya Allah sekiranya sedekah dan hajat ini baik untuk diri ku dan agama ku, mohon Engkau makbulkan permintaan ku mengikut ketetapan Mu Ya Allah. Nampak mudah tapi perlu istiqomah.

Cubalah dan bersangka baik pada Allah


#Nanti saya tulis list barang yang dibawa sewaktu menunaikan umrah ye. Semoga bacaan pengalaman ini bermanfaat untuk semua.


 


Sedekah

  Catatan Pengalaman Sedekah Mententeramkan Jiwa      Setahun yang lepas, saya melayani perasaan sedih menghadapi perkara sukar yang saya ha...