Thursday, February 3, 2022

Umrah Pertama



 Catatan Pengalaman



    Walau sudah dua tahun berlalu kenangan menunaikan umrah merupakan kenangan yang sangat manis dan tidak akan mampu untuk kami sekeluarga lupakan.

    Ketika menyatakan hasrat untuk menunaikan umrah kepada suami, suami hanya diam tidak bersuara. Saya terus bercerita kepadanya tentang kemahuan ini berulang kali. Ketika itu, kami tinggal berasingan kerana tuntutan pekerjaan suami. Suami di Pahang manakala saya dan anak-anak di Negeri Sembilan. Sudah puas saya memikir, bagaimana cara lagi untuk saya mendapatkan respon dan restu suami. Saya buntu seketika. Saya mula bertanya pada diri, apalagi kekurangan aku? Ya Allah ampunkanlah aku atas soalan yang menzalimi diri aku sendiri.

    Saya teringat pada arwah bapak. Sewaktu saya mengkhabarkan kepada bapak abang saya Mohd Salleh telah meninggal dunia, dalam kesedihan bapak berkata "kenapa aku tidak teringat hendak buat solat hajat memohon kepada Allah kesembuhan untuk anak aku?" Mengalir air mata bapak ketika itu.

    Saya teringat kisah itu sangat menyentuh hati, lantas saya menyimpan azam "Aku mesti buat solat hajat dan istikorah" detik dalam hati. Maka, saya jadikan itu sebagai rutin selepas solat dhuha dan sebelum saya tidur. Lama juga soalan tentang umrah tidak saya kemukakan kepada suami kerana saya takut saya berkecil hati jika tiada jawapan. Bagi saya itu adalah perkara baik kenapa tidak dibuat?

    Satu hari, rakan sepejabat saya memaklumkan dalam group whatsup pejabat berkenaan dengan pemergian beliau sekeluarga untuk menunaikan umrah. Selesai membacanya, airmata saya laju mengalir dan terasa panas airmata itu. Saya terus mengambil wuduk dan membuat solat sunat 2 rakaat. Selesai itu, saya whatsup personal rakan itu mengucapkan tahniah dan syukur kepadanya. Orangnya sangat muda, sudah mahu menunaikan ibadah umrah. Saya sudah tua. Itulah detik hati saya yang sedih.

    Suami pulang hujung minggu dan saya merasakan sudah waktunya saya mengulangi pertanyaan, bolehkah kita ke Mekah? Subahanallah....Alhamdulillah......Allahuakhbar. Segala pujian milik Allah. Sedang saya mencari ruang yang sesuai untuk memulakan bicara, suami terlebih dahulu membuka jalan cerita "Mami cukup duit untuk ke Mekah?" tanya suami. Saya jawab jika berdua, InsyaAllah cukup balas saya.

"Kita pergi berdua?" tanya suami lagi. 
"Sebenarnya, Pak memang bercadang hendak pergi tapi bukan dalam waktu ini" katanya.

Ketika itu, saya hanya diam tidak berkata. Saya memandang wajah suami sambil dalam hati saya berselawat. Saya berdoa Ya Rasullullah, jemputlah kami menziarahi mu Ya Rasullullah. Saya tidak sedar airmata mengalir laju.

"Macam ni lah, kita pegi, InsyaAllah" kata suami dan dia datang menghampiri terus memeluk saya.

    Sahabat semua, selain solat hajat, solat istikorah dan berselawat, saya diberi satu petua oleh sahabat saya iaitu amalan semoga hajat dipenuhi oleh Rabbul Izzati.

Mudah amalan ini jika kita faham dan redha, amalan itu adalah bersedekah!

    Jumlahnya tidak besar tapi saya akan pastikan setiap hari saya bersedekah sebelum subuh dan saya memanjat doa, Ya Allah sekiranya sedekah dan hajat ini baik untuk diri ku dan agama ku, mohon Engkau makbulkan permintaan ku mengikut ketetapan Mu Ya Allah. Nampak mudah tapi perlu istiqomah.

Cubalah dan bersangka baik pada Allah


#Nanti saya tulis list barang yang dibawa sewaktu menunaikan umrah ye. Semoga bacaan pengalaman ini bermanfaat untuk semua.


 


No comments:

Post a Comment

Sedekah

  Catatan Pengalaman Sedekah Mententeramkan Jiwa      Setahun yang lepas, saya melayani perasaan sedih menghadapi perkara sukar yang saya ha...