Thursday, February 3, 2022

Berserah Kepada Allah

Catatan Harian 

    Hari ini mula saya bekerja setelah menikmati cuti panjang sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina. Sepatutnya kami sekeluarga pulang ke kampung tetapi disebabkan tidak sanggup menempuh kesesakan di lebuhraya maka keputusan dari balik menjadi tidak balik dibuat oleh kami selaku ibubapa.

    Aktiviti kami sepanjang tempoh bercuti ialah selain merayap, meronda-ronda di pusat membeli belah sambil cuci mata, peluang yang ada digunakan untuk berehat. Kami masak bersama-sama, makan dan tidur. Saya beritahu kepada anak-anak, jika mami diberi pilihan antara menempuh kesesakan dengan tidur mami akan berjuta kali memilih untuk berehat iaitu tidur. Anak-Anak pasrah walau sedikit kecewa.

    Apa berlaku hari ini? Oleh kerana masih terdapat rakan sekerja yang menyambung cuti hingga hujung minggu ini dan masih terdapat rakan yang masih dalam tempoh kuarantin, suasana di pejabat menjadi sunyi. Jika tidak, pasti suasana akan sedikit hingar dengan gelak tawa dan usikan rakan-rakan. 

    Saya ambil kesempatan hari ini dengan mengemaskini buku rekod cuti kakitangan. Menyemak setiap nama dan meghubungi mereka untuk mengingatkan tentang permohonan cuti yang belum dihantar kepada saya atau borang yang belum lengkap.

    Ketika ralit membuat kerja, saya dapat pesanan ringkas melalui telefon dari suami memaklumkan dirinya tidak sihat. Dia sudah mendapatkan rawatan di klinik berdekatan dengan rumah dan Pegawai Perubatan mengarahkan dia supaya datang semula sebelah petang bagi tujuan swab test.

    Alamak tuan, berdebar rasa, dup dap rasanya. Dalam fikiran macam-macam soalan keluar. Yang tidak patut difikirkan pun berlaku. Terpaku sekejap. Saya memaklumkan kepada Ketua Jabatan tentang perkara tersebut melalui pesanan whatsup. Walau bilik kami bersebelahan, ketika itu rasanya tidak bersemuka adalah pilihan yang selamat.

    Teringat kata-kata Pegawai Perubatan yang merawat saya dahulu. Pesannya, jika awak stress dan mula gemuruh lakukan perkara yang boleh mendatangkan kegembiraan kepada awak. Beliau memberi contoh seperti memasak, membaca, berkebun atau menulis.

    Hari ini 1 Rejab, jika tiada halangan saya akan berpuasa namun Allah Maha Mengetahui. Saya tidak berpuasa dan kerana saya mula rasa tidak selesa dan sakit kepala, telan juga panadol sebagai penawar. Jika saya berpuasa, pasti saya akan meneruskan puasa dan menahan kesakitan. Dua biji panadol sedikit membantu mengendurkan kerisauan saya tentang kesihatan suami dan anak-anak.

    Dan sebagai terapi diri, hari ini saya menulis. Menulis adalah kegemaran saya namun saya terpaksa lupakan kerana nanti lama kelamaan penulisan itu akan membawa kesedihan hingga membuatkan saya menanggis. Ajaibnya hari ini saya boleh kawal diri dan saya tidak menangis. Alhamdulillah.

    Sebenarnya saya hendak sampai mesej dalam penulisan ini. Kita wajib berserah kepada Allah atas apa yang berlaku, beristigfar dan berselawat dalam masa yang sama kita boleh melakukan pekara bermanfaat yang boleh membantu melupakan sejenak kerisauan. Cuba tarik nafas panjang-panjang dan dalam. Kemudian nafas itu dilepaskan dengan segera. InsyaAllah, kita akan rasa lega.

    Saya juga berjaya melukis pelan lantai stor, melengkapkan teguran audit dan sebelum tamat waktu kerja saya menyemak semula tugasan yang telah berjaya saya buat hari ini. Walaupun tidak fullmark sy gembira dengan angka yang saya sendiri tulis iaitu 6/8.

Semoga saya dan anda semua masih menghirup udara yang Allah beri pinjam.

Jumpa esok, InsyaAllah. 

1 comment:

  1. Terima kasih puan. Kadang-kadang bila ada masalah, lupa nak ambil tempoh bertenang sekejap 😔

    ReplyDelete

Sedekah

  Catatan Pengalaman Sedekah Mententeramkan Jiwa      Setahun yang lepas, saya melayani perasaan sedih menghadapi perkara sukar yang saya ha...