Monday, February 7, 2022

Sedekah

 Catatan Pengalaman



Sedekah Mententeramkan Jiwa


    Setahun yang lepas, saya melayani perasaan sedih menghadapi perkara sukar yang saya hadapi ialah dengan  berbelanja sesuka hati. Saya akan berbelanja mengikut nafsu dan seperti sudah menjadi ubat untuk saya bila melihat bungkusan diterima, jika tidak saya gelisah. Sedihnya hingga kini masih terdapat bungkusan yang masih saya belum buka, saya hanya suka membeli tetapi tidak menggunakan kerana bukan keperluan utama. Saya mencontohi amalan syaitan!! 


Ya Allah, apa yang telah aku lakukan? Saya mengadu, aku sakit Ya Allah, bantulah aku.

    Saya mula mencari penyelesaian terhadap masalah yang sedang saya hadapi ini dan dalam beberapa cadangan solusi yang diberikan saya temui satu kaedah yang hingga ke hari ini membahagiakan saya iaitu amalan bersedekah. Saya memulakan dengan jumlah yang kecil iaitu RM2.00 sehari dan selama dua bulan saya akan memastikan saya konsisten membuat pindahan wang ke akaun yang saya pilih. Jika saya lupa waktu pagi dan teringat pada waktu malam maka malamlah saya buat pindahan transaksi.

    Kenapa saya tidak buat auto debit? Memberi arahan kepada pihak bank agar membuat potongan setiap hari ke akaun bank yang dipilih. Itu lebih mudahkan? Permulaan saya memulakan aktiviti ini memang terfikir untuk membuat autodebit tapi saya merasakan belum tiba masanya. Saya perlu mengambil peluang melatih diri, sendiri menguruskan, sendiri ingat dan yang paling istimewa saya tidak melepaskan peluang untuk berdoa sewaktu membuat transaksi.

    Jika sebelum ini, baru beberapa hari menerima gaji saya telah kehabisan wang hingga terpaksa pula keluar wang simpanan untuk memenuhi kehendak yang sia-sia, kini tidak berlaku lagi. Jika sebelum ini saya bermula dengan RM2.00 kini jumlahnya telah meningkat. Mohon doakan jumlahnya akan meningkat lagi. Jika sebelum ini saya takut tiada simpanan, kini saya mencuba meningkatkan simpanan saya di dunia sana.

    Saya sudah dapat atasi perbuatan saya yang tidak bermanfaat sebelum ini. Berdamai dengan perasaan gundah saya. Jika sehari saya tidak menekan butang transfer saya akan merasa bersalah kerana tidak dapat membantu orang lain. Begitulah saya kini.

    Akhir penulisan ini saya memohon maaf jika apa yang saya tulis ini mengundang ketidakselesaan rakan pembaca semua. Saya tidak berniat untuk menceritakan kebaikan saya namun saya berharap ikutilah perkara yang bermanfaat jika ada. Saya memohon maaf sekali lagi dan semoga Allah memberikan RahmatNya.
 
 



 





  


No comments:

Post a Comment

Sedekah

  Catatan Pengalaman Sedekah Mententeramkan Jiwa      Setahun yang lepas, saya melayani perasaan sedih menghadapi perkara sukar yang saya ha...